Malam tadi, dalam kuliah maghrib, melalui surah 'abasa Allah memperingatkan kepada manusia akan hakikat kejadian insan adalah dari air mani yang hina dina. Kemudian berkembang sebagai janin dalam kandungan ibu selama 9 bulan, dengan diperlengkapkan segala kelengkapan. Sejak dalam kandungan lagi, seseorang manusia telah ditetapkan rezekinya, umurnya dan matinya.
Apabila dilahirkan, manusia(bayi) dikeluarkan juga menerusi saluran kencing yang kotor, lemah dan tidak berupaya. Justeru, sedarlah manusia kita ini hanyalah hamba Allah yang Maha Kuasa. Siapalah kita untuk mengingkari segala suruhan dan larangan Allah.
Seterusnya, manusia(insan=nisyan=mudah lupa) diberikan 2 laluan untuk dipilih, satu menuju kejayaan dan satu lagi jalan menuju ke neraka. Kedua-duanya dipermudahkan Allah. Setelah itu manusia akan dimatikan, dikuburkan dan dibangkitkan semula untuk menerima balasan atas yang mereka kerjakan.
Jika ini, belum menyedarkan manusia, Allah juga memperingatkan manusia supaya memerhati akan nikmat yang dinikmatinya. Air hujan yang diturunkan dari langit menyuburkan bumi dan ditumbuhi pelbagai jenis tanaman anggur, sayuran, zaitun dan kurma. Pelbagai jenis tumbuhan dan rumput yang diperlukan manusia dan ternakan mereka. Tanpa air bumi akan gersang, tandus dan tidak subur. Tanpa tanaman manusia akan kebuluran.
Manusa dan binatang ternakan tidak dapat dipisahkan serta sangat diperlukan manusia. Ada manusia yang menjadi kaya raya dengan menternak binatang. Tanpa daging makanan manusia tidak seimbang. Justeru sedarlah manusia segala nikmat dan rezeki yang dikecapi ini semuanya disediakan Allah.Ingatlah betapa berjaya, berkuasa dan kayanya kita,itu semua adalah rezeki kurniaan Allah. Allah berhak dan berkuasa untuk menarik kembali pemberiannya itu.