Sudah masuk hari keempat umat Islam berpuasa pada bulan Ramadhan. Namun adakah puasa kita ini diterima Allah dan diampuni olehNya kesalahan lalu kita? Seberapa ramai kita yang berpuasa namun tidak mendapat apa apa melainkan lapar dan dahaga.
Apakah puasa kita itu hanya kerana adat? Bulan Ramadhan umat Islam mesti berpuasa dengan hanya tidak makan dan minum pada sebelah siang hari. Orang lain berpuasa kita mesti juga berpuasa.
Betapa ada daripada kita yang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat?. Berpuasa tetapi tidak menutup aurat. Berapa ramai orang Islam yang berpuasa namun masih berbuat maksiat dan melakukan apa yang ditegah Allah? Berpuasa itu wajib. Mesti ditunaikan kerana perintah Allah. Tetapa bagaimana dengan tuntutan menutup aurat dan bersolat 5 kali sehari semalam. Bukankah itu juga perintah dan suruhan Allah? Bukankah Islam itu dibina di atas 5 rukun.
Pada bulan ini bazar Ramadhan muncul dengan pelbagai jenis makanan. Hotel dan restoren menghidangkan buffet Ramadhan yang menawarkan pelbagai hidangan pada harga yang istemewa. Seolah-olah Ramadhan bulan pesta makanan, dan sememangnya amat ditunggu oleh peniaga dan pemilik hotel dan restoren. Kenapa pada bulan Ramadhan kita mesti berhabis habisan membeli pelbagai juadah berbuka sehinggakan berlakunya pembaziran. Jika dah makanan bertimbun, berbuka puasa pula di hotel dan restoren ternama, di manakah nilai ibadah berpuasa. Bukankah Allah menfardhukan puasa itu untuk memberikan peluang kepada umat Islam supaya lebih mendekatkan diri kepadaNya? Membersihkan diri dari segala keburukan?
Puasa yang benar benar diterima Allah adalah puasa yang ditunaikan dengan penuh keimanan dan keikhlasan. Pada bulan inilah pahala yang dikurniakan berlipat ganda. Siangnya mereka bersedekah dan beramal jariah. Malam hari dipenuhkan dengan bersolat sunat tarawih, bertadarus Al QUran dan berzikir. Berqiamullail.Pada bulan Ramadhan mereka akan berlumba-lumba beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan keampunan dan keredhaanNYa.
No comments:
Post a Comment