Sunday, October 31, 2010

The Red Warrior Wira Kelantan

Tanggal 30 .10.2010, pasukan bola sepak Kelantan mencatat sejarah apabila dinobat sebagai Juara Piala Malaysia Edisi 2010 setelah berjaya menewaskan juara bertahan Piala Malaysia 2009.
Kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan semalam mengakhiri penantian selama 55 semenjak Kelantan mara ke pusingan akhir Piala H.M.S Malaya pada tahun 1955.Kejayaan itu juga telah menebus kehampaan kem The Red Warrior dan seluruh penyokongnya setelah tewas 1-3 kepada Skuad Hobeng Jang Hobeng dalam perlawanan akhir Liga Malaysia 2009
Paling bermakna apabila Kerajaan negeri Kelantan mengumumkan cuti peristiwa hari ini sempena kejayaan pasukan bola sepak The Red Warriors menjulang Piala Malaysia edisi ke 84 malam tadi.
Kerajaan negeri juga akan memberikan sedikit imbuhan kepada pasukan Kelantan sebagai menghargai perjuangan dan kejayaan mereka itu.

Thursday, October 28, 2010

Lagi di SMK Mulong



Posted by Picasa

SMK Mulong Terbakar ,Gara Gara Ular Sawa?


Demontrasi Jabatan Pertahanan Awam JPA3,
Suasana sekolah menengah mulong riuh rendah pagi tadi gara gara satu kebakaran
JPA3 mendemontrasi cara memadam kebakaran kebakaran dengan cara yang betul dan sesuai
cubaan melepaskan daripada belitan seekor ular sawa?


seorang guru cuba berdiri diatas belitan ular untuk membuktikan betapa kuatnya belitan ular sawa
Posted by Picasa

Gelagat Amni




Pelbagai gelagat Amni sewaktu makan 'tepong boko' ubi kayu yang dimasak sendiri oleh isteriku. Pohon ibu kayu memenuhi laman belakang rumahku telah lama tak 'digali'
Posted by Picasa

Tuesday, October 26, 2010

Matahari ?

Gambar ini dirakam pada jam 6 petang tadi. Entah mengapa matahari yang diambil dengan kamera Digital Camcorder iV2000S membentuk titik hitam yang dikelilingi warna ungu. Adakah kamera ini dapat memfokus sehingga ke pusat matahari?

Tuesday, October 19, 2010

Pameran Ular di Muzium Negeri Kelantan

Tak dok gapo nak buat, jadi 'post'kan gambar ni.
Diambil sewaktu rombongan pengawas SK Mulong 1 mengadakan lawatan ke Pameran Ular yang diadakan di Muzium Negeri Kelantan beberapa bulan lepas. Anak(berbaju pengawas-ke-2 dari kanan) dan rakan-rakannya sempat merakam kenangan mereka bersama seekor ular sawa.

Saturday, October 16, 2010

KELANTAN MARA, SELANGOR MENDERITA

Akhirnya, pasukan 'The Red Warrior' dapat menjinakkan pasukan Selangor di Stadium Sultan Muhammad IV, dan seterusnya mara ke separuh akhir TM Piala Malaysia 2010. Segala tekanan dan pengalaman pahit bertemu Selangor di gelanggang lawan pada selasa lepas menaikkan semangat juang anak buah B Sathianaathan.
Pertemuan suku akhir pertama Selangor-Kelantan menyaksikan tindakan ganas penyokong kedua-dua pasukan yang memungkinkan KAFA dan FAS bakal dikenakan tindakan disiplin oleh FAM. Lebih tragis dan memilukan apabila seorang penyokong Kelantan mati akibat sesak nafas.
Persoalannya bagaimana dan mengapa penyokong kedua dua pasukan bertindak ganas dan serang menyerang? Pertemuan dua musuh tradisi bola sepak itu sepatutnya mencetuskan tindakan proaktif oleh pengurusan FAM, pihak pengurusan FAS dan pasukan keselamatan.
Dalam pertemuan semalam di Kota Bharu menyaksikan perlawanan berlangsung dan berakhir secara aman apabila pasukan keselamatan mengadakan kawalan ketat terhadap penyokong.

Friday, October 15, 2010

Bunga sulong Mempelamku



Setelah 7 tahun, akhirnya pokok mempelam di belakang rumahku mengeluarkan bunga sulongnya. Maklumlah hanya mengharapkan baja bakar dan sisa ternakan . Mungkin itulah penyebab pokok mempelamku lambat mengeluarkan bungan dan buah.
Aku sendiri pun dah ingat mempelam spesis apakah itu.
Tunggu dan lihat sahajalah, nanti apabila bunganya berputik dan menghasilkan buah.Harap-harap biarlah bunga itu dapat bertahan dalam cuaca sekarang. Hujan lebat turun hampir setiap petang dengan disertai angin yang bertiup kencang. Di Kelantan, apabila masuk sahaja bulan Oktober, pasti hujan, yang menandakan musim tengkujuh bakal menjelang tiba.

Nilai Sekeping Kertas

wang RM50 keluaran khas


wang RM dengan nombor siri menarik...
AT4463399

TM2345088
UT9898008

wang kertas RM 5 dan RM2 yang telah hampir tiada dalam edaran



nilai wang disebalik yang tersurat

Nilai di sebalik yang tersurat

Wang adalah segalanya.Demi wang manusia sanggup melakukan apa sahaja. Kerana wang manusia sanggup berbunuhan hatta ahli keluarga sendiri. Kerana wang nyawa melayang . Ada wang abang sayang.
Kini, kegilaan manusia terhadap wang makin membuak-buak. Nilai wang bukan dinilai pada nilainya yang tercatat diatas sekeping kertas. Wang telah diangkat nilainya sehingga berganda-ganda dari nilai asalnya. Wang telah menjadi sesuatu yang mempunyai nilai estetika. Wang telah disimpan sebagai satu hobi atau koleksi terutama oleh golongan ber'uang'. Bagi mereka ini wang yang ada melebihi keperluan. Jadi mereka cuba mencari kelainan dan keunikan pada sekeping wang kertas.

Sunday, October 10, 2010

10.10.10

Tarikh yang ditunggu oleh semua orang. Susunan angkanya senang diingati, memudahkan setiap orang mudah mengingati semua peristiwa yang berkaitan dengan tarikh tersebut.
Ada orang yang sanggup menunggu tarikh ini semata-mata kerana keunikannya angkanya itu, dari sekecil-kecil hingga peristiwa paling penting dalam kehidupan manusia.
Ramai pasangan yang melangsungkan majlis perkahwinan mereka pada hari ini.
Tetapi yang paling penting adalah kesetiaan dan kesungguhan mereka untuk hidup bahagia dan bersama sehingga ke akhir hayat.

Tuesday, October 5, 2010

PMR 2010

Selamat berjaya kepada semua calon yang menduduki Peperiksaan Menengah Rendah PMR. PMR menjadi penentu arah tuju masa depan anda semua. Aliran sains atau teknik atau sastera semuanya bergantung kepada keputusan PMR anda.Jadi berusahalah melakukan yang terbaik untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Namun kepada para pelajar sekarang, peperiksaan PMR seakan tiada nilainya. Lulus atau gagal mereka akan tetap meneruskan pelajaran mereka di tingkatan 4 dan seterusnya. Hal ini menyebabkan mereka yang lemah terpaksa belajar dan duduk di dalam kelas. Mereka tidak ada pilihan lain.Justeru masalah disiplin di sekolah sebahagiannya berpunca daripada pelajar yang kurang berminat dalam pelajaran.
Berbanding sistem peperiksaan pada masa dahulu, SIJIL RENDAH PELAJARAN, SRP lebih signifikan dan sangat penting dalam menentukan hidup atau mati seseorang pelajar. Pelajar yang lulus sahaja berpeluang menyambung pelajaran mereka ke tingkatan empat. Bagi pelajar yang kurang bernasib baik, mereka ini berpeluang ke sekolah vokasional. Ini lebih baik bagi mereka kerena berpeluang menambahkan kemahiran mereka dalam bidang tertentu. Apabila tamat belajar mereka ini akan terus memasuki pasaran tenaga buruh dan ramai daripada mereka ini berjaya dan hidup bahagia.
Jadi, usaha TPM selaku Menteri Pelajaran sekarang untuk mengembalikan semula sekolah vokasional ke dalam sistem pendidikan sekarang sangatlah dialu-alukan. Ini akan memberi peluang kepada pelajar kurang berkemampuan dalam akademik mendalami ilmu dan kemahiran dalam bidang yang mereka minati.

Monday, October 4, 2010

Hujan Rahmat



sudah tiga petang hujan turun mencurah curah membanjiri permukaan bumi. Sawah- sawah padi dipenuhi air. kawasan tanah rendah mulai dibanjiri air hujan. Namun angin juga bertiup kencang menerbangkan atap rumah penduduk, dan menumbangkan papan-papan iklan gergasi.
Menjelang 5 petang setiap hari semenjak 2 hari lepas, langit mendung menyelubungi atmosfera kelantan. Dalam pada itu, kilat sabung menyabung dan petir berdentum dentam

Saturday, October 2, 2010

Kembalilah kepada Ajaran Agama Sebenar

Semalam masih menghantui saya hari ini. Malam tidur kurang lena. Termimpi-mimpi mereka yang ditawan di Israel sana. Seakan keluarga saya sendiri yang ditawan. Berdebar-debar menanti keadaan nasib mereka.

Hingga hari ini, update yang didapati adalah sangat kurang dan kebanyakannya masih tidak mampu dijelaskan kesahihannya.

Sungguh saya melihat gelombang besar di dalam Facebook apabila kebanyakan news feed galak menceritakan peristiwa 31 Mei 2010. Forward memforward mesej, bertukar-tukar berita, laungan-laungan semangat, celaan dan selaan kepada Israel, kata-kata pembakar kepada kepimpinan dan 1001 macam lagi ekspressi.

Saya memandang jauh. Berhadapan realiti, saya tahu kemenangan tak akan sampai esok.

Justeru saya suka agar yang mengikuti Langit Ilahi belajar dari peristiwa.

31 Mei 2010, apa yang Allah nak ajar kita?

Di sini kita muhasabah diri dan melihat kunci kemenangan yang sebenarnya.

Hakikat sebuah perjuangan

Mungkin sebelum ini, kita sering sahaja melaung-laung akan perjuangan. Saya masih ingat betapa dari saya kecil, entah sudah berapa orang menyebut, dan entah sudah berapa kali saya dengar, suara-suara yang menyatakan harapan mereka:

“Ana nanti, nak pergi Palestin, bantu orang di sana”

Dan apabila konvoi Lifeline4Gaza bergerak, saya melihat realitinya. Manusia-manusia yang membumikan harapan mereka yang besar lagi tinggi. Mereka ini, kita lihat, akhirnya tersekat di tengah perjalanan ditahan oleh Israel. Lebih memburukkan, diserang dan ada yang terbunuh. Israel dengan berani menuduh pula bahawa orang di atas kapal yang menyerang terlebih dahulu.

Konvoi yang sekadar membawa bantuan kemanusiaan, dilayan lebih teruk dari binatang.

Maka, itulah dia hakikat perjuangan yang sebenar. Punya risiko. Perjuangan bukanlah satu jalan ‘pasti selamat’ yang kita lalui. Tetapi pejuangan adalah satu jalan yang menuntut pengorbanan.

Maka saya suka kita memandang semula kehidupan kita.

Apa yang telah kita korbankan?

Kadangkala, masa lapang pun sukar untuk kita berikan. Harta pun lokek kita kongsikan. Apatah lagi mengorbankan nyawa dengan mengambil risiko berjuang di atas jalan Allah.

Sungguh, kita hanya ada di pinggiran.

Hari ini terjadi, kerana kebodohan semalam

Walaupun saya amat sakit hati dengan tindakan Israel, sikap mereka, dan tindakan konco-konco mereka, saya tetap memandang bahawa apa yang terjadi hari ini adalah kerana kebodohan ummat Islam itu sendiri sebelum ini.

Kita lihat kehidupan kita. Kita lihat bagaimana keadaan negara-negara yang mencanangkan dirinya negara Islam. Kemudian kita lihat keadaan rakyat-rakyat di dalam negara Islam itu pula. Bagaimana keadaannya?

Kita lihat pula pergerakan-pergerakan dakwah. Bagaimana keadaannya?

Dan kita akan melihat betapa sebelum ini, kita asyik bergaduhan, berpecah belah, larut dalam kemaksiatan, lemas dalam kemungkaran, jauh daripada Allah SWT, tidak mengambil tatacara hidupNya, tidak membumikan ajaran RasulNya, dan melakukan 1001 macam kerosakan baik kepada diri, keluarga, rakan, mahupun negara.

Ummat Islam yang tidak faham Islam menghina-hina Islam. Ummat Islam yang faham Islam pula malas menyebarkannya. Yang menyebarkannya pula bergaduhan akan teritori dakwahnya. Yang bergaduhan, berakhir dengan benci membenci sesama mereka.

Kalau kita semua semenjak dahulu lagi tidak memakai pakaian kemegahan dunia, dan telah menyarung pada diri mereka qamis akhirat, nescaya tiada kebaculan kita, pemimpin-pemimpin kita hari ini yang mampu membuatkan perkara ini terjadi. Kapal kemanusiaan terapung di atas laut tanpa diiringi tentera yang boleh menjaga keselamatan? Itu sahaja sudah menunjukkan betapa negara-negara Islam tidak sensitif dengan semangat rakyatnya sendiri.

Dan lihatlah pula kita. Berapa ramai antara kita yang peka dan sensitif? Berapa ramai antara kita yang mengambil Islam sebagai cara hidup? Berapa ramai pula antara kita yang faham akan tuntutan diri sebagai hamba Allah? Berapa ramai pula yang menyebarkannya? Berapa ramai yang senang bersatu berbanding bergaduh?

Berapa ramai dan berapa ramai?

Sudah nyata, apa yang berlaku hari ini, itu kebodohan kita dahulu.

Dan Allah menunjukkan pembayarannya kepada kita hari ini.

Kita lemah dan tidak berdaya.

Hanya mampu menjerit sahaja.

Allah memperkenalkan wajah sebenar musuh kita

Selamat berkenalan dengan Israel Zionis. Itulah yang mampu saya sebutkan apabila peristiwa kejam 31 Mei 2010 berlaku. Ya, itulah dia Israel Zionis. Saya tak faham jika masih ada lagi yang hendak memberikan justifikasi kepada musuh-musuh Allah itu.

Sungguh, sikap mereka telah Allah nyatakan di dalam Al-Quran semenjak dahulu lagi. Kita mungkin sebelum ini menyangka bahawa Israel hanya bermusuh dengan manusia di Palestina. Tetapi itulah kesilapan kita. Hakikatnya Israel bermusuh dengan sesiapa sahaja yang berusaha melakukan kebaikan. Sebab itu mereka tidak teragak-agak membunuh mereka yang ada di atas kapal semalam. Mereka juga tidak teragak-agak membuat tuduhan palsu.

Allah ingin menyatakan kepada kita, itulah dia Israel. Bukannya Israel tidak tahu bahawa kapal itu sedang diperhatikan perjalanannya oleh seluruh dunia. Tetapi mereka tetap berani melakukan sedemikian teruknya. Maka, pastinya lebih teruk lagi telah mereka kerjakan Palestin yang terputus dari dunia dikelilingi tembok kematian.

Itulah dia musuh kita.

Dan itulah dia yang menguasai dunia. Itulah dia yang kita sokong selama ini secara tidak langsung menggunakan hiburan yang melampau, menggunakan dosa-dosa, menggunakan maksiat kepada Allah SWT. Secara tidak langsung, kita menjadi askar-askar senyap mereka yang membuatkan merkea kuat hingga ke hari ini.

Sungguh hairan orang yang masih redha dengan kehidupannya yang bernaung bawah kekuasaan manusia yang ingkar dengan Allah SWT jika dia menyedari hal ini.

Jalan kemenangan bukan dengan jeritan

Saya dapat melihat betapa jeritan, laungan, seruan di dalam Facebook atau di mana-mana sahaja berkenaan peristiwa ini akan senyap tidak berapa masa lagi. Forward-memforward gambar akan berhenti. Post-post berkenaan Palestin akan surut kembali tidak lama lagi.

Saya kira, nanti apabila tawanan perang dibebaskan, dunia akan senyap kembali. Alangkan pembunuhan besar-besaran seperti Shabra dan Shatilla yang menggemparkan dunia pun akhirnya senyap begitu sahaja. Apatah lagi 20 orang yang mati di atas kapal yang cuba merentas Gaza tanpa kebenaran Israel?

Ya, itu realitinya. Jiwa ummat terbius. Semangat hanya hangat-hangat tahi ayam. Kita sampai satu tahap rasa telah menang. Menang sorak sahaja hakikatnya. Kita rasa puas dengan membakar bendera Israel. Mendelete lambang-lambangnya di dalam komputer. Menyelar-nyelarnya di dalam internet. Mendoa laknat dan kehancuran untuk mereka.

Tetapi kita lupa, kemenangan memerlukan lebih daripada itu.

Kemenangan perlukan jiwa yang memahami matlamat yang jelas. Kemenangan memerlukan kesatuan yang utuh. Kemenangan perlukan pengorbanan. Kemenangan perlukan perancangan yang bersistematik. Kemenangan bukannya datang sepantas esok apabila kita berusaha hari ini. Kemenangan bukannya datang dengan jeritan-jeritan kita.

Jerit, laung, doa, yang kini hangat di alam maya, itu semua hanyalah pembakar semangat.

Api, tetap akan padam jika tiada bahan bakarnya yang konsisten.

Persoalan utama, apakah kita telah memenuhi ciri-ciri untuk diberikan kemenangan?

Jangan fikir jerit kita, laungan kita, forward-forward gambar kita, semuanya itu bermakna untuk kemenangan seandainya kita sendiri dalam bentuk jasad dan kehidupan tidak bergerak menewaskan Israel di dalam jiwa kita, di dalam tatacara kehidupan kita.

Israel hanya akan tewas, bila ummah dalam kondisinya yang baik.

Maka siapa yang menggerakkan dirinya, memperbaiki dirinya, dan mengajak masyarakat sekeliling agar kembali kepada Allah SWT? Siapa yang menggerakkan dirinya, agar ikhlas bersatu dengan sahabat-sahabat muslimnya yang lain? Siapakah yang mendidik dirinya agar kehidupannya bergerak atas lembayung Allah SWT?

Siapakah yang berusaha untuk menang ini?

Penutup: Apa yang mereka ada, apa yang kita tiada?

Akhirnya, saya suka kita mengambil pengajaran yang mendalam akan hal 31 Mei 2010. Memang Israel kejam. Tetapi jika difikirkan semula, itulah dia tugasan dan kerja musuh-musuh Allah. Bukankah kita yang lebih kejam daripada Israel sekiranya kita hidup bukan dengan kehidupan Islam yang akhirnya membawa kepada kelemahan ummah dan menyebabkan peristiwa seperti ini berlaku?

Saya suka kita memandang zaman-zaman kemenangan Islam. Zaman Saidina Umar Al-Khattab dan Salahuddin Al-Ayubi. Mari kita soal diri kita, apa yang dua zaman itu ada, dan apa yang kita tiada?

Zaman itu ada masyarakat yang hidup betul-betul dengan kehidupan Islam, duduk betul-betul di bawah lembayung redha Allah SWT, bersatu, bersih akhlak dan ibadah, pemimpin yang adil, rakyat yang faham dan semuanya tetap menjungjung agama Allah SWT dalam apa jua keadaan.

Zaman itu ada semua itu.

Zaman kita apa yang ada?

Maka saya melihat, jika hendakkan kemenangan, maka mahu atau tidak, itu semua perlu kita dapatkan kembali.

Dahulu, negara-negara arab pernah menggerakkan Perang Enam Hari. Mesir, Jordan dan Syria bergabung untuk menewaskan Israel yang sekangkang kera. Tetapi akhirnya, ketiga-tiga negara itu tewas dan akhirnya Israel menjadi tuan mutlak ke atas Palestina.

Kenapa mereka tidak menang?

Jawapan saya, mereka tidak memenuhi ciri-ciri kemenangan.

Tidakkah kita mengambil pengajaran?

Sesungguhnya, Allah itu tidak pernah meninggalkan kita. Tetapi kitalah yang meninggalkan Allah SWT

(sumber: http://haluansiswa.haluan.org.my/index.php/direktori-artikel/378-31-mei-2010-apa-yang-allah-nak-ajar-kita)

Mendidik Hati

Ingat Dua perkara
i.perbuatan BAIK ORANG kepada KITA
ii.perbuatan JAHAT KITA kepada ORANG lain

dan Lupakan Dua Perkara
i.perbuatan BAIK KITA kepada ORANG
ii.perbuatan JAHAT ORANG kepada KITA

Mari kita mendengar pesanan dan nasihat Luqman al-Hakim kepada anaknya. Pesannya: "Wahai anakku, hendaklah kamu ingat kebaikan orang dan lupa kejahatan orang. Dan hendaklah kamu lupa kebaikan kamu terhadap orang dan ingatlah kejahatan yang kamu lakukan kepada orang."

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
"Orang yang mengungkit kebaikannya sama seperti daun kering yang dijilat api."
Dan Sabda Rasulullah s.a.w lagi yang bermaksud:
"Orang yang baik ialah orang yang berbuat baik kepada orang membuat baik kepadanya dan membuat baik kepada orang yang membuat jahat terhadapnya."

Itulah tanda amal kebaikan dan ibadat kita lakukan dengan hati yang ikhlas dan mengharapkan keredhaan Allah.